Tuesday 15 September 2015

Asal dan sejarah awal Rom

Asal ROM

Asal dan sejarah awal Rom tidak dapat dipastikan. Sedangkan terdapat keterangan-keterangan yang khusus tentang asal dan sejarah Rom, pemerian-pemerian itu cenderung bersifat mitologi, dan tidak dapat merupakan sejarah objektif ketika diperlakukan dengan analisis moden.



Empayar Rom merupakan fasa tamadun Rom kuno yang disifatkan oleh sebuah kerajaan yang autokratik. Republik Rom yang awal telah dibinasakan dan dilemahkan oleh pertikaian antara Gaius Marius dan Sulla, diikuti oleh perang saudara Gaius Julius Caesar terhadap Pompey. Semasa semua perebutan kuasa ini, beratus-ratus senator telah bertempur, dihukum mati, dibunuh atau membunuh diri. Senat Rom dipenuhi semula dengan kawan-kawan yang setia kepada Pemerintahan Bertiga Pertama dan kemudian, oleh penyokong-penyokong Pemerintahan Bertiga Kedua. Pada akhirnya, Octavian (kemudian dikenali sebagai "Augustus") menewaskan pesaingnya, Mark Antony, dan menamatkan subversi yang beransur-ansur ini melalui penyusunan semula Republik Rom menjadi "Empayar Rom".

"Empayar Rom" boleh juga digunakan sebagai terjemahan untuk ungkapan, Imperium Romanum, yang mungkin merupakan ungkapan bahasa Latin yang terkenal yang mana perkataan imperium telah digunakan untuk bermaksud "wilayah"; "Empayar Rom" merujuk kepada bahagian dunia di bawah pemerintahan Rom. Pengembangan wilayah Rom ini yang menyeberangi sempadan negara kota Rom yang asal telah bermula sejak lama lagi sebelum negara itu menjadi sebuah empayar. Pada kemuncaknya selepas penaklukan Dacia oleh Trajan, Empayar Rom menguasai permukaan tanah sebanyak lebih kurang 5,900,000 kilometer persegi (2,300,000 batu persegi) dan oleh itu, menjadi empayar terbesar semasa Zaman Purba Klasik.

Tarikh yang tepat ketika Republik Rom menjadi Empayar Rom telah dipertikaikan, dengan tarikh-tarikh pelantikan Julius Caesar sebagai sebagai diktator seumur hidup (44 SM), perang Actium (2 September 31 SM), dan tarikh ketika Senat Rom menganugerahkan Octavian dengan gelaran Augustus (6 Januari 27 SM) kesemua ini dikemukakan sebagai calon. Untuk mengelirukan perkara ini lagi, Octavian mengisytiharkan diri sebagai penyelamat Republik Rom dan menyembunyikan kuasanya dengan teliti di bawah bentuk-bentuk republik. Pada kelihatannya, Republik Rom masih hidup: konsul-konsul masih dipilih, tribunal marhaen masih mencipta undang-undang, dan senator-senator masih memperdebatkan di dalam Kuria Rom. Bagaimanapun, Octavian adalah orang yang menguasai kesemua ini serta membuat semua keputusan terakhir, dan jika perlu, legion-legion Romawi akan digunakan untuk menyokong beliau.

Secara tradisi, keakhiran Empayar Rom ditetapkan pada 4 September 476 ketika Empayar Rom Barat jatuh kepada penyerang-penyerang Germanik. Bagaimanapun, pandangan ini mengabaikan dan gagal untuk mengakui Empayar Rom Timur (dikenali secara meluas sebagai Empayar Byzantine) yang melindungi undang-undang dan budaya Rom. Didasarkan pada tradisi-tradisi undang-undang dan kebudayaan Rom, Empayar Rom amat dipengaruhi oleh budaya dan bahasa Yunani, dan telah mengembangkan sifat tersendiri yang dapat dikekalkan, malahan berkembang maju, selama seribu tahun lagi. Pada akhirnya, Empayar Rom ditakluk oleh Empayar Turki Uthmaniyyah pada 29 Mei 1453.

Dari masa Augustus sehingga Kejatuhan Empayar Barat, Rom mendominasikan Eurasia Barat, dan terdiri daripada melebihi separuh bilangan penduduknya. Pengaruh-pengaruh budaya, undang-undang, bahasa, agama, kerajaan, tentera, dan seni bina Rom terhadap tamadun Barat masih dapat dikesan pada hari ini.

Masyarakat Rom terbahagi mengikut sistem kasta. Kelas yang terendah ialah hamba abdi. Mereka tidak diberi hak langsung dan dimiliki oleh orang lain. Selepas itu ialah kelas plebeian. Kumpulan ini ialah orang bebas tetapi mempunyai sedikit pengaruh dalam pentadbiran negara. 

Kelas kedua tertinggi ialah equestrian (kadangkala dipanggil kesatria). Nama mereka bermaksud penunggang kuda dan setiap equestrian diberi kuda dan boleh menyertai pasukan berkuda untuk bertempur bagi Empayar Rom. Mereka yang ingin menjadi golongan ini haruslah kaya dan berharta. 

Kelas tertinggi sekali ialah patricians atau golongan bangsawan. Golongan ini ialah golongan paling berkuasa di Rom dan berhak menjadi ahli Senat Rom.


Peperangan Islam-Rom

Peperangan Islam-Rom Byzantine merujuk kepada pertempuran antara tentera Islam Arab dengan tentera Empayar Rom Byzantine yang rata-ratanya penganut Kristian. Peperangan ini berlaku dalam tempoh yang paling lama dalam sejarah peperangan manusia iaitu selama 820 tahun dari tahun 633 M hinggalah ke tahun 1453 M.

Pertempuran ini berlaku peringkat awalnya di bawah pemerintahan Khulafa al-Rasyidin di sekitar tahun 633M sehingga 655M. Kemudian diikuti dengan Kerajaan Bani Ummaiyyah daripada tahun 661M sehingga 1031M, Bani Abbasiyyah yang membawa kepada siri Perang Salib dari tahun 1091M hingga tahun 1291M, hinggalah ke kerajaan Turki Uthmaniyyah yang berjaya menamatkan empayar Rom Byzantine pada sekitar Mei tahun 1453M.

Keadaan Semasa

Kedua-dua empayar iaitu Rom Byzantine dan Parsi Sassanid menganggap bangsa Arab bukan merupakan ancaman besar bagi mereka pada ketika itu. Ini berdasarkan keadaan logistik, bentuk muka buminya yang berbukit, kegiatan harian orang Arab dan maklumat yang diperolehi daripada mereka yang tinggal di sempadan tanah Arab. Bangsa Arab ketika itu dikenali sebagai bangsa yang liar, keras dan suka membuat kekacauan di sempadan wilayah kedua-dua empayar. Struktur masyarakatnya yang sukar ditadbir oleh kedua-dua empayar dan kawasannya yang mempunyai hasil bumi yang sangat sedikit menyebabkan kedua-dua empayar tidak berminat untuk menakluk semenanjung tanah Arab. 

Disebabkan itulah kedua-dua kerajaan menubuhkan kerajaan campuran yang bertindak sebagai kerajaan pengaman dan penampan daripada kekacauan bangsa Arab. Untuk itu, kerajaan Lakhmid didirikan di Hirah bagi mewakili empayar Parsi manakala kerajaan Ghassan ditubuhkan sebagai lambang kuasa empayar Rom. Kawasan semenanjung Arab ketika itu dikenali sebagai pusat persinggahan para peniaga yang berulang-alik ketika berurusniaga.

Selepas tamatnya peperangan antara tentera Rom Byzantine dan tentera Parsi Sassanid dalam siri Peperangan Sassanid-Byzantine yang terakhir di Nineveh pada tahun 627 M, kedua-dua empayar mengalami masalah dalaman yang serius seperti masalah cukai yang tinggi, pertembungan sosio-budaya antara kerajaan Arab-Parsi iaitu Lakhmid yang berpusat di Hirah dengan empayar naungannya kerajaan Parsi Sassanid dan kerajaan Arab-Rom iaitu Ghassan yang berpusat di Damsyik dengan kerajaan naungannya Rom Byzantine. Tambahan pula dengan kedua-dua pihak mengalami keletihan selepas tempoh peperangan begitu lama dalam siri Peperangan Sassanid-Byzantine.

Setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW pada tahun 632 Masihi, seluruh penduduk semenanjung Arab disatukan di bawah agama Islam mula memberikan ancaman yang besar. Pengganti Nabi Muhammad, khalifah Abu Bakar mula melancarkan serangan ke atas Syria dan Palestin dan berjaya menyatukan kedua-dua bandar ini menjadi sebahagian daripada negara Islam. Namun begitu, kedua-dua kota ini dituntut oleh empayar Rom atau Byzantine dan juga empayar Parsi Sassanid. Peristiwa ini seterusnya mengubah suasana dan geopolitik serta pengaruh masyarakat Arab kepada tamadun dunia.

Ancaman

Setelah adanya ancaman ketenteraan yang serius dari pihak Arab Islam, kedua-dua empayar yang terkejut dengan serangan tentera Islam mula menumpukan kegiatan ekonominya untuk membiayai perbelanjaan ketenteraan bagi menghadapi kemaraan tentera Islam.

Kedua-dua empayar berpendapat bahawa serangan tentera Islam bukan hanya untuk melakukan kekacauan seperti mana keadaan Arab sebelum kedatangan Islam, tetapi serangan mereka lebih kepada perancangan untuk meluaskan jajahan serta menakluk wilayah Parsi dan Rom.

Ketika inilah bermulanya siri Peperangan Islam-Rom Byzantine di sebelah barat Arab dan peperangan dalam usaha untuk menyebarkan Islam di Parsi di bahagian timur Arab.

Khulafa al-Rasyidin

Peperangan untuk menakluki empayar Rom Byzantine telah dimulakan sejak zaman Nabi Muhammad dalam Perang Mu'tah. Kemudian, usaha ini diteruskan oleh tiga orang Khulafa al-Rasyidin yang terawal iaitu Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan Uthman bin Affan. Pada ketika pemerintahan Ali bin Abi Thalib, usaha penyebaran Islam terhenti buat seketika kerana terdapatnya pergolakan dalaman yang membawa kepada Perang Jamal, Perang Siffin dan seterusnya membawa kepada peristiwa pembunuhan Khulafa al-Rasyidin keempat itu. Terdapat lebih daripada sepuluh peperangan antara tentera Islam dengan tentera Byzantine ketika era pemerintahan Khulafa al-Rasyidin.




Salam Sayang
Zalmin Zakaria

No comments:

Post a Comment